Selenggaraan oleh PKBiT 2008.

ARKIB 2005
Sistem pajak gadai Islam, Ar-Rahn bakal diperkenalkan di Singapura
Radio Singapore International - November 28, 2005

Buat julung kalinya sebuah sistem pajak gadai Islam, atau Ar-Rahn bakal diperkenalkan di Singapura. Apakah kelebihan konsep gadaian yang berlandaskan Syariah Islam berbanding dengan sistem konvensional? Setakat mana ia dapat dijayakan di Singapura? Di kupas tuntas dalam Lanskap Niaga kali ini.

Rangkaian Pengusaha Muda (Yen Org), salah satu badan penggerak niaga di Singapura dijangka mengadakan kerjasama dengan Permodalan Kelantan Berhad (PKB) untuk mewujudkan sistem pajak gadai Islam, Ar-Rahn. Menurut Encik Mohd Daud Abdul Rahim, Naib Pengerusi Inovasi dan Perniagaan Baru, Yen Org, pertubuhannya sedang dalam proses menyempurnakan perjanjian bersama PKB untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran mereka dalam usaha mengadakan sistem Ar-Rahn di Singapura :

“Kami di Yen sedang going through proses MOA dengan pihak PKB. Dari pihak PKB, dia akan mengenalkan produk-produk ini lah di Singapura. Dan PKB juga akan supply pakar-pakar dan juga cara-cara untuk mengendalikan produk kewangan Ar-Rahn.”

Sistem pajak gadai Ar-Rahn yang dikendalikan oleh PKB di Kelantan pertama kali diperkenalkan di negeri utara Malaysia itu sejak 1992. Sehingga kini ia telah berjaya mengeluarkan pinjaman berjumlah 500 juta Ringgit. Apakah bezanya sistem pajak gadai Ar-Rahn ini berbanding dengan yang konvensional? Pengurus Besar PKB, Haji Mohd Sabri Abdullah menerangkan :

"Sebagai contohnya, kita tidak mengenakan faedah. Jadi apa yang kita kenakan di dalam sistem Ar-Rahn adalah kita menggunakan apa yang kita sebut sebagai upah menyimpan barang. Katakan penggadai menggadai satu barang kemas, jadi kita memberi pinjaman kepada mereka dan kita tidak mengenakan faedah di atas pinjaman itu. Sebaliknya kita mengenakan upah dan kadar upah yang kita ambil daripada kita menyimpan barang mereka itu adalah jauh lebih rendah kalau kita bandingkan unsur faedah itu. Maknanya, kita mengenakan pada kadar yang munasabah.”

Selain itu, dalam sistem konvensional, jika pemiutang gagal membayar dalam tempoh ditetapkan, barang gadaian akan lupus, sedangkan sistem Ar-Rahn membenarkan gadaian dijual tetapi jika harga jualan melebihi baki hutang, lebihan itu akan dipulangkan kepada peminjam.

“Di antara satu elemen yang kurang Islamic, iaitu bila penggadai tidak dapat melunaskan pinjamannya. Kalau pinjamannya kecil, dia lelap begitu sahaja. Kalau pinjamannya besar, dia akan melalui proses lelong, dan proses lelong itu kadang-kadang tidak begitu telus. Jadi, berapakah harga lelongnya, berapakah baki pinjaman? Dalam pelaksanaan Ar-Rahn ini, kita menegaskan kepada mereka dan kita memberi peringatan kepada mereka. Sebagai contoh, dua kali kita beri penringatan bahawa se nya pinjaman tuan ini telah mencapai tarikh, sila buat tebusan atau membayar balik dan bayar upahnya. Dan jika mereka gagal, diberi peluang datang ke kedai kami dan kita buat perundingan dan dia boleh jual, samada dia jual melalui orang tengah ataupun kita juga boleh membeli melalui ko-operasi kita. Kita membeli dengan harga pasaran dan kita telus dan kita berikan semula lebihan di antara pinjaman dengan harga jualan.”

Sistem Ar-Rahn ini, juga dapat membantu mereka yang berpendapatan rendah membuka perniagaan kecil-kecilan. Mereka tidak lagi perlu ke bank untuk mendapatkan pinjaman bagi menjalankan urusan perniagaan. Haji Mohd Sabri sekali lagi menjelaskan bagaimana Ar-Rahn boleh digunakan untuk tujuan pinjaman perniagaan :

“Kalau kita tengok realiti apa yang saya perhatikan di Kelantan ini, kebanyakkan golongan-golongan berpendapatan rendah atau sederhana, mereka mudah menyimpan dalam bentuk gold…emas. Emas itu merupakan satu simpanan mereka. Jadi, jika mereka mempunyai peluang untuk melaksanakan urus niaga, perkara yang paling mudah bagi mereka adalah mengambil emas itu ke pajak gadai dan berurusan dengan pajak gadai dengan begitu mudah dan mereka boleh mendapat samada 50 peratus ataupun 60 peratus daripada nilai emas itu dan mereka boleh menggunakan untuk mengambil peluang untuk melaksanakan perniagaan. Dan dalam masa yang singkat, kata-kanlah dalam masa 10 atau 15 hari, mereka dapat pulangan balik daripada perniagaan mereka itu, dan mereka boleh menembus balik dengan kehendak upah yang cukup minima.”

Pengurus Besar Permodalan Kelantan Berhad (PKB), Haji Mohd Sabri Abdullah. Jumlah pelanggan yang berurusan dengan Ar-Rahn di Kelantan sehingga sekarang dilaporkan hampir 50 ribu dan membabitkan pusingan modal sebanyak 23 juta Ringgit. Bagaimana pula di Singapura? Dapatkah ia dijayakan di sini? Apakah antara cabaran yang mungkin dihadapi? Encik Mohd Daud Abdul Rahim, dari Rangkaian Pengusaha Muda, Yen Org memberi pandangan :

“Cabaran pertama ialah untuk menukar minda orang terhadap sistem pajak gadai. Secara tradisional, sistem pajak gadai ini selalu dikaitkan dengan kalau seorang itu desperate…tersesak, dia pergi pajak gadai untuk pajak barang-barang dia. Tapi kita harus ubah sikap ni, dan menonjolkan nilai-nilai Islam yang murni, yang universal, dan meningkatkan kedudukan pajak gadai di dalam mata pandangan rakyat.”

Encik Mohd Daud Abdul Rahim, Naib Pengerusi Inovasi dan Perniagaan Baru, Yen Org.

Skim kewangan Islam Ar-Rahn memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan wang tanpa melibatkan unsur riba. Pengamat kewangan turut berpendapat bahawa Ar-Rahn juga menguntungkan institusi pelaksana kerana hutang pelanggan terjamin dibayar balik, sekalil gus mengelakkan masalah hutang tidak berbayar yang kini menghantui sistem kewangan. Bagi inisiatif pertama memperkenalkan Ar-Rahn di Singapura, Yen Org akan mengadakan satu seminar mengenai skim tersebut pada bulan depan.
[2005] [2006] [2007] [2008]