PKB Mencapai Penarafan Emas bagi Kerangka Kewangan Sosial
Permodalan Kelantan Berhad (“PKB”) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Rangka Kerja Kewangan Sosial (Social Finance Framework) PKB telah menerima pengiktirafan tertinggi iaitu Penarafan Emas daripada MARC Solutions Sdn Bhd, badan bebas yang melakukan penilaian impak kelestarian (ESG) ke atas Rangka Kerja tersebut. Ini sekali gus menandakan satu pencapaian penting PKB dalam memperkukuh kedudukannya selaku perintis industri ar-rahn iaitu pajakgadai Islam; menerajui pelaksanaan inisiatif kewangan sosial patuh Shariah di Malaysia dan mendokong penerbitan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment Sukuk) – ringkasnya dikenali sebagai Sukuk SRI.
Penilaian bebas oleh MARC Solutions adalah kaedah yang memastikan Rangka Kerja Kewangan Sosial PKB benar-benar bertepatan dengan prinsip-prinsip kewangan sosial yang relevan dan standard-standard bersesuaian, bagi tujuan Sukuk SRI.
Penarafan Emas ini mencerminkan komitmen jitu PKB dalam mewujudkan rangka kerja kewangan sosial yang mantap dan tersusun, di samping mempertingkat ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus dalam pengurusan serta penggunaan hasil terbitan Sukuk SRI oleh PKB bagi membiayai aktiviti dan inisiatif sosial yang layak selaras dengan Rangka Kerja yang diiktiraf.
Rangka Kerja tersebut menetapkan prinsip, proses dan kriteria bagi pengenalpastian, pemilihan, pengurusan serta pelaporan projek dan aktiviti sosial yang layak dibiayai melalui Program SRI Sukuk PKB menepati pelbagai penanda-aras kelestarian yang khusus seperti Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG).
Pencapaian penarafan Emas ini turut menyokong usaha PKB untuk memperluas impak sosial melalui aktiviti pembiayaan yang memberi manfaat kepada masyarakat khasnya serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mampan amnya.
Sebagai rujukan dan makluman kepada pihak berkepentingan serta bakal pelabur, dokumen berikut boleh dimuat turun:
